Watak dan Perwatakan Kurosaki_Ichigo

Ichigo ialah remaja pesimistik berusia 15 tahun dan selalu menonjolkan imej yang tidak berapa normal; keningnya sering dikedutkan dan suka tersenyum sinis. Tetapi, dia sebenarnya lebih baik hati dan bijak daripada sangkaan orang ramai. Ichigo mempunyai rambut jingga semula jadi dan hal ini membangkitkan kemarahan pelajar-pelajar senior yang suka bergaduh dengannya. Ichigo mendakwa bahawa dia tidak kisah tentang pandangan orang lain (berkenaan rambutnya atau subjek-subjek lain) malah seronok berlawan dengan kaki-kaki buli di sekolahnya. Ichigo biasanya akan berganding bahu dengan Sado Yasutora semasa menentang mereka.

Ichigo suka akan coklat dan makanan pedas. Artis kesukaannya ialah Al Pacino dan Mike Ness dan dia paling mangagumi William Shakespeare. Dia tidak suka akan wanita yang tidak berpakaian senonoh atau langsung tidak berbaju.

Ichigo merupakan seorang murid yang berpotensi; dia mendapat kedudukan 18 daripada 322 di sekolahnya. Hal ini mengerikan Asano Keigo (dia takut bahawa Ichigo akan bertukar kepada si ulat buku) tetapi Ichigo mengatakan bahawa dia mengulang kaji secara konsisten dan tidak mengabaikan latihan sekolahnya kerana dia tidak mempunyai apa-apa untuk dibuat di rumah. Banyak orang mempunyai syak wasangka dan prejudis terhadap Ichigo kerana keanehan warna rambutnya (walaupun warna semula jadi) menyebabkan Ichigo berusaha untuk mengubah persepsi mereka.

Namanya, apabila diasingkan kepada ichi (一) dan go (五) akan membawa maksud 1 dan 5 atau 15. Mungkin oleh sebab ini, angka 15 telah muncul beberapa kali dalam siri ini. Perkataan ichigo (イチゴ) sebenarnya bermakna "strawberi" dalam Bahasa Jepun dan selalunya diberikan kepada anak perempuan; pengawal pintu Jidanbō menyindir Ichigo kerana perkara ini tetapi Ichigo mengatakan bahawa namanya dieja sebagai ichi iaitu "tempat pertama" dan go daripada "malaikat pelindung". Ayah Ichigo pernah memberitahunya bahawa nama Ichigo bermaksud "dia yang melindungi".

Apabila kuasa semangat Ichigo dibebaskan, beberapa watak turut memanifestasi kuasa semangat sendiri. Hal ini kerana Ichigo menghasilkan terlalu banyak kuasa semangat yang tidak mampu ditakung dalam badannya menyebabkan kuasa tersebut selalu melimpah keluar. Pendedahan konsisten kepada kuasa semangat Ichigo menyebabkan beberapa orang rakan sekelasnya memperoleh kuasa istimewa.